.

.

Sunday, February 12, 2012

KESAN KEMOTERAPI KANSER

Reaksi orang terhadap pesakit kanser adalah berbeza. Ada yang terlalu takut kepada penyakit kanser, ada yang biasa sahaja dan ada juga yang tidak kisah terhadap penyakit kanser. Ada sesetengah orang pula mengalami ketakutan atau fobia kanser. Ini merupakan suatu keadaan di mana seseorang itu sentiasa bimbang dan terganggu fikirannya; mungkinkah dia diserang penyakit kanser apabila timbul sesuatu tanda di badannya! Orang seperti ini sering menemui doktor jika timbul apa-apa masalah walaupun remeh-temeh dan fikirannya sentiasa terganggu oleh sebab ketakutan terhadap penyakit kanser. Walaupun kita mesti berwaspada terhadap kemungkinan penyakit kanser, khususnya mereka dalam golongan berisiko sama ada dari segi umur, terdedah terhadap bahan-bahan yang mungkin karsinogenik seperti tabiat merokok, pendedahan terhadap bahan kimia, pancaran X-ray dan sebagainya, namun kita tidak perlulah sentiasa hidup dalam ketakutan hingga jiwa kita tidak tenteram. Sebaiknya, kita mengambil langkah berjaga-jaga dan terdapat ujian-ujian penapisan seperti X-ray, ujian sel pangkal rahim (pap smear), ujian darah atau sebagainya yang boleh mengesan kanser sebelum ada tanda kita patut mengambil langkah-langkah yang sewajar.



Satu perkara yang sangat penting dalam menentukan kejayaan rawatan kanser ialah peringkat ketumbuhan kanser tersebut, sama ada ia masih terhad pada satu bahagian tubuh badan ataupun telah merebak ke kawasan persekitaran atau telah merebak jauh melalui saluran darah ke organ-organ penting seperti paru-paru, otak, hati, tulang dan sebagainya. Di peringkat awal, sebelum ketumbuhan kanser dapat merebak, rawatan yang tepat akan memberi hasil yang memuaskan, malah ia mungkin boleh pulih seperti sediakala. Tetapi, apabila kanser telah merebak jauh, kesan rawatan mungkin tidak begitu memuaskan dan pertumbuhan kanser mungkin sukar dikawal.Satu lagi perkara yang sangat penting dalam menentukan kejayaan kanser ialah jenis sel kanser itu dan di bahagian mana kanser itu berlaku. Pelbagai jenis kanser boleh tumbuh dalam badan kita. Jika bentuk sel kanser itu amat luar biasa (anaplastik) maka kemungkinan sel itu membiak dengan cepat dan merebak luas dan ini akan menimbulkan masalah rawatan. Sesetengah sel-sel kanser pula kebal walaupun diberi rawatan dengan ubat-ubat kemoterapi atau dengan rawatan radioterapi. Dalam keadaan begini, hasil rawatan dari pemulihan tidak begitu memuaskan.


Sesetengah penyakit kanser mengeluarkan tanda di peringkat awal lagi, misalnya kanser pangkal rahim di kalangan wanita. Biasanya, sebelum menjadi kanser, sel-sel pada pangkal rahim menjalani beberapa peringkat perubahan, iaitu daripada sel normal kepada sel luar biasa. Kemudian ia menjadi kanser di peringkat awal dan seterusnya kanser membiak Lagipun, kanser pangkal rahim pada wanita boleh dikesan sebelum ia mencapai ke peringkat kanser dengan ujian pap smear. Dengan ini, ia mungkin boleh dicegah daripada menjadi kanser. Dan jika ia telah menjadi kanser, dan dapat dikesan di peringkat awal, ia boleh dirawat sepenuhnya. Tetapi, kanser di dalam perut seperti kanser usus besar, perut, hati ataupun kilang ovari, kadang-kadang menimbulkan tanda yang agak lewat dan apabila tanda-tanda itu timbul, keadaannya telah tenat dan sel-sel kanser telah merebak. Dalam keadaan demikian, rawatan secara pembedahan dan rawatan dengan kaedah yang lain mungkin tidak akan memberi kesan pemulihan yang seratus-peratus baik.



Konsep Pembinasaan Sel Kanser Secara Spontan Pernah kita mendengar cerita orang yang telah disahkan menghidap kanser dan setelah dirawat doktor itu mengatakan keadaan kansernya amat berat dan dia diberi tempoh hidup selama enam bulan atau setahun. Kemudian selepas tempoh tersebut, pesakit itu masih hidup lagi, malah dia lebih sihat daripada sebelum terkena kanser. Ini adalah di antara cerita-cerita yang kita pernah dengar. Pesakit-pesakit yang telah hampa dengan rawatan moden telah pergi berjumpa dengan perawat-perawat tradisional yang memberi bermacam-macam cara rawatan, mungkin secara jampi, atau secara rawatan tradisional seperti jamu, akar kayu, ubat sinseh dan sebagainya. Kita juga telah mendengar kisah seorang pengidap kanser, iaitu Jason Winters yang pernah menghidap penyakit kanser dan telah tempoh hidup enam bulan tetapi dia terus hidup dengan menggunakan ubat-ubatan tradisional daripada berbagai-bagai ramuan akar kayu dan beliau telah mengolah satu ramuan yang dinamakan “Teh Jason Winters” yang beliau percaya boleh mengubati pelbagai penyakit kanser.


Dalam keadaan cemas dan genting seperti ini, manusia akan menggunakan bermacam-macam cara dan kaedah untuk mengatasi masalah dan apabila rakan, teman atau saudara memberi cadangan tentang rawatan yang berkesan, mereka akan terus mencubanya. Walaupun kadang-kala kita tidak mengetahui logik atau asas saintifiknya, memang tidak boleh disangkal, bahawa ramuan-ramuan dalam akar kayu atau ubat-ubatan tradisional mungkin mempunyai kesan yang boleh membinasakan sel-sel kanser. Setakat ini belum banyak kajian yang telah dilakukan ke atas ramuan ubat-ubatan tradisional dan ubat akar kayu ke atas pelbagai jenis penyakit termasuk juga kanser.Pakar-pakar perubatan memang mengakui, bahawa sel-sel kanser pun boleh binasa dengan sendirinya, iaitu dalam proses yang dinamakan regresi spontan. Ini semua adalah dalam penguasaan Allah dan sebagai manusia kita hanya berdoa dan mengharapkan agar penyakit yang dihidapi sembuh


RAWATAN KEMOTERAPI


Sesetengah penyakit kanser seperti kanser darah (leukimia), dan kanser rahim yang dinamakan choricarcinoma biasanya tidak memerlukan rawatan secara pembedahan, tetapi ia boleh dirawat dengan ubat-ubatan atau kemoterapi. Kegunaan ubat-ubat kemoterapi sebagai perawat kanser utama, hanya terhad kepada beberapa jenis kanser sahaja dan sesetengahnya telah saya nyatakan di atas. Tetapi, ubat-ubat kemoterapi sering digunakan sebagai cara rawatan lanjutan selepas seseorang itu dibedah akibat daripada kanser yang dihidapi dan setelah dipastikan kanser itu telah merebak ke tubuh yang lain.
Terdapat banyak jenis ubat-ubat kemoterapi yang biasanya diberikan secara suntikan atau secara ubat tablet. Di negara kita ini, Institut Barah Kuala Lumpur banyak memberikan rawatan ke atas penyakit kanser. Rawatan ini memerlukan pengawasan yang rapi kerana ubat-ubat kemoterapi ini bukan sahaja membinasakan sel-sel kanser, tetapi ia juga boleh merosakkan sel-sel normal.


Kesan sampingan ini boleh menimbulkan beberapa masalah kepada seseorang yang sedang mendapat rawatan kemoterapi, misalnya ia boleh menindas pertumbuhan sel-sel darah menyebabkan penghidap mengalami kekurangan dan juga sel-sel darah putih untuk melawan penyakit, menyebabkan pesakit mudah diserang penyakit, khususnya kuman. Kadang-kala, pesakit mengalami masalah rambut gugur ketika menjalani rawatan kemoterapi, bibir mungkin pecah terkena ulser. Inilah di antara beberapa kesan sampingan, tetapi dengan pengawasan dan rawatan daripada doktor yang mahir dalam bidang ini, masalah ini, Insya-Allah akan dapat dikawal. Rawatan dengan kemoterapi kadang-kala perlu diulang setelah satu atau dua bulan kemudian, dan khususnya jika doktor yang merawat itu mendapati ada tanda-tanda bahawa penyakit kanser itu masih aktif lagi


KESAN RAWATAN RADIOTERAPI


Ini adalah satu kaedah rawatan yang penting bagi penyakit kanser. Pelbagai jenis radiasi telah digunakan dan kaedah rawatan ini boleh didapati daripada Institut Barah di Hospital Besar Kuala Lumpur untuk mengatasi pelbagai jenis penyakit kanser. Pesakit perlu dimasukkan ke hospital dan rawatan boleh dilakukan secara pancaran dari luar ataupun pancaran daripada logam radium yang dimasukkan ke dalam bahagian tubuh badan. Misalnya, dalam kes kanser pangkal rahim, rawatan secara radiasi adalah pilihan utama. Dalam kaedah rawatan ini, logam radium radioaktif dimasukkan ke dalam rahim untuk beberapa hari dengan tujuan supaya logam ini akan mengeluarkan bahang radiasi dan membinasakan sel-sel kanser. Di samping ia membinasakan sel-sel kanser, bahang radiasi juga boleh membinasakan sel-sel yang normal. Misalnya, dalam rawatan kanser pangkal rahim, sel-sel normal (kilang telur atau ovari) boleh juga musnah dan ini menyebabkan kehabisan hormon estrogen bagi wanita tersebut selepas rawatan.


Kesan kehabisan hormon estrogen pada wanita ialah seperti kaedah putus haid.Di antara kesan sampingan yang mungkin timbul akibat daripada rawatan radioterapi ialah kesan bakar pada kulit yang mungkin berwarna kehitaman sedikit. Tetapi dengan teknik rawatan baru, kesan sampingannya dapat dikurangkan. Kadang-kala, organ-organ lain di sekeliling ketumbuhan kanser boleh terganggu akibat daripada pancaran X-ray, misalnya seseorang pesakit yang sedang mendapat rawatan radioterapi bagi kanser pangkal rahim. Kadangkala pundi-pundi air kencing dan saluran najis akan mengalami kerosakan sedikit menyebabkan gangguan sementara dalam fungsi organ tersebut.


SETIAP PENYAKIT ADA PENAWARNYA


Masih banyak lagi kaedah rawatan yang belum kita ketahui. Apa yang kita ketahui hanya sedikit sahaja, Allah yang Maha Mengetahui. Walaupun demikian, kita sebagai pesakit perlulah berusaha mencari di mana sahaja kita ketahui ada kaedah rawatan yang berkesan, khususnya rawatan yang berasaskan sains perubatan moden. Di samping itu, kita juga berdoa pada Allah S.W.T dengan insaf atas musibah yang menimpa diri kita. Kita patut banyak bersabar dan banyak bertasbih. Mungkin ini satu cubaan untuk menguji kesabaran kita, mungkin juga satu balasan bagi kesalahan yang telah kita lakukan di masa lepas. Yang pentingnya ialah kita percaya, bahawa penyakit kanser adalah satu perkara yang diturunkan oleh Tuhan. Tentulah ada sebabnya, hanya kita sahaja tidak mengetahui apa puncanya. Perbanyakanlah berzikir dan bertafakur sambil memuji kebesaran Allah. Dengan bersabar menanggung kesakitan, kita akan mendapat pahala. Rawatan yang berlebihan boleh mempercepatkan maut. Saya sendiri pernah melihat pengidap kanser diberi rawatan secara pembedahan diikuti dengan rawatan kemoterapi serta radioterapi atas keghairahan saudara-mara atau doktor yang merawat. Perbuatan ini boleh memberi kesan yang tidak begitu baik kerana seperti yang saya nyatakan di atas, bahawa kaedah-kaedah rawatan seperti kemoterapi dan radioterapi boleh juga merosakkan sel-sel yang normal dan seterusnya mengganggu dan menjejaskan fungsi-fungsi organ tubuh badan yang lain. Rawatan yang berlebihan (overdose) boleh mempercepatkan maut seseorang penghidap kanser.Satu perkara yang amat penting dalam rawatan penyakit kanser ialah pengesanan diperingkat awal. Oleh itu, kita perlu sentiasa berwaspada dan mengambil langkah-langkah tertentu untuk mengesan penyakit tersebut di peringkat awal supaya apa juakaedah rawatan yang diberikan boleh membaikpulih pesakit.

1 comment:

  1. cuba aprikot vitamin 17 untuk melawan kanser

    ReplyDelete