...

...

Thursday, February 24, 2011

SUSU IBU PENAWAR KULIT SENSITIF BAYI

KETIKA pulang bercuti di kampung halaman suami di Gurun baru-baru ini, cuaca sememangnya panas sehinggakan terasa bahang pedih menyengat kulit. Ketika melayan panas yang membahang, penulis simpati melihat keadaan anak saudara berusia setahun enam bulan yang merengek sambil sebelah tangannya menggaru-garu punggung kerana kegatalan.

Caranya menggaru mungkin kelihatan menggelikan hati, tetapi apabila si kecil yang belum boleh bertutur itu kelihatan bersungguh-sungguh menggaru dan berusaha melucutkan lampin dipakainya, dia memang serius sedang menahan gatal serta pedih. Apabila di buka lampin kainnya, kelihatan kulit bayi yang sepatutnya mulus menjadi kehitaman dan timbul ruam merah merengsa.

Teringat adik sendiri yang berkulit ‘lokek’ atau bahasa bukunya, kulit sensitif dan tidak boleh sebarangan memilih makanan, produk mandian atau syampu kepala yang tidak sesuai, alamatnya memang kulitnya akan membengkak dan gatal bukan kepalang. Sejak tiga tahun kebelakangan ini, selain menjaga makan dan mengambil ubat yang dibekalkan doktor, dia kini sudah menemui produk sesuai untuk kulit sensitif iaitu produk yang bertulis, hipoalergenik. Menurut maklumat diberikan seorang doktor kulit, anak kecil yang mempunyai kulit sensitif tidak disarankan menggunakan sebarang sabun atau sapuan yang mengandungi wangian atau bahan pewarna tidak perlu. Ada banyak jenis sabun khas yang boleh dibeli di pasaran dan disarankan adalah sabun yang mempunyai perkataan hipoalergenik kerana sabun itu mempunyai ramuan yang dibuktikan tidak menyebabkan alahan atau kesan alergi. Selain itu, kulit anak yang kering juga dikatakan menjadi punca ia gatal dan mungkin berpunca daripada enzema atau alahan. Justeru, kaedah rawatan yang sesuai adalah dengan menyapukan pelembap kulit seperti krim aqueous. Bagi ibu bapa yang mempunyai bayi berkulit sensitif, rujuk bayi anda kepada doktor pakar dan kebiasaannya apabila kulit bayi kelihatan kemerahan, maka doktor mungkin akan memberikan ubat krim steroid untuk meredakan radang.
.
Kegunaan krim steroid ini hanya disarankan untuk jangka waktu yang singkat dan dengan perhatian rapi oleh pakar kulit atau pediatrik. Berbalik kepada kisah anak saudara tadi, penulis juga diberitahu, dia tidak boleh diberi susu formula berasaskan susu lembu dan diganti dengan sejenis susu diperbuat daripada soya. Harganya juga boleh tahan mahal dan kakak ipar kadangkala mengadu harga susu tidak setimpal isinya yang sedikit. Sebenarnya, maklumat yang diterima daripada konsultan laktasi, untuk bayi yang mengalami masalah kulit sensitif, adalah lebih baik jika mereka diberikan susu ibu dari awal bagi mengelakkan daripada alahan kulit. Ramai ibu mengadu, susu tidak cukup, bayi tidak pandai menghisap dan susu tidak keluar sebagai alasan untuk tidak memberikan bayi susu ibu tanpa sedar, susu ibu adalah makanan dan minuman terbaik untuk bayi terutama sejak lahir hingga bayi berusia enam bulan. Saya yakin, setiap ibu menginginkan yang terbaik untuk si kecil mereka dan kerana itu, jumlah ibu di negara yang memberikan susu ibu secara eksklusif kepada bayi mereka semakin bertambah. Syabas untuk ibu sekalian!
.
FAEDAH SUSU IBU KEPADA BAYI
.
1. Mengandungi khasiat zat khasiat lengkap yang memenuhi keperluan bayi.
.
2. Mengandungi protein, lemak dan asid lemak Omega 3 yang mudah dihadamkan supaya kadar pertumbuhan fizikal dan perkembangan mental bayi sihat.
.
3. Membantu perkembangan otak dan sistem saraf serta meninggikan tahap IQ.
.
4. Melindungi bayi daripada jangkitan dan penyakit seperti gangguan usus, masalah pernafasan serta jangkitan telinga kerana susu ibu mengandungi sel-sel hidu dan antibodi.
.
5. Mengurangkan risiko penyakit kencing manis dan kanser kanak-kanak.
.
6. Melindungi daripada penyakit alahan.
.
7. Mengurankan risiko inflamasi kolon bayi pra-matang.
.
8. Mengurangkan masalah karies gigi, penglihatan, pertuturan dan menguatkan pertumbuhan rahang.
.
9. Mengurangkan risiko penyakit jantung pada kemudian hari.
.
10. Mengurangkan risiko sindrom kematian bayi.
.
11. Menggalakkan hubungan erat antara ibu dengan anak.
.
.
(siti nur almizan aripin / berita harian)

1 comment:

  1. Salam. Just nk perkenalkan produk Tropika Baby Skin Care. Natural remedies based on virgin coconut oil or minyak kelapa dara. Positive feedbacks from satisfied mommies untuk anak2 ekzema & kulit sensitif. For details boleh visit http://www.tropikababies.blogspot.sg/ or FB - Tropika VCO & Medela Swing Maxi. Insya Allah akan berpuas hati :)

    ReplyDelete