.

.

Tuesday, August 17, 2010

MAKSUD TAUBAT NASUHA

BERTAUBATLAH SESUNGGUHNYA PINTU TAUBAT
ITU SENTIASA TERBUKA LUAS UNTUK MANUSIA
.
Selagi ajal belum tiba dan selagi matahari belum terbit di ufuk barat maka rebutlah peluang kembali kepada Allah dengan bertaubat kepadaNya dan memohon ampun kepada Nya dari segala kesilapan dan kejahatan yang telah dilakukan. Setinggi gunung dosa yang dilakukan dan sebesar laut kejahatan yang dilakukan, namun segeralah bertaubat kerana rahmat dan kasih sayang Allah meluas umpama langit yang tiada penghujungnya. Betapa rindunya Allah mendengar rintihan keluh kesah dari hambanya yang ingin bertaubat dan memohon ampun padanya. Ingatlah dan yakinlah bahawa Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penerima Taubat hamba-hambanya. Renungilah sebuah hadis dari Nabi Muhammad s.a.w iaitu :
.
Sesungguhnya Allah tetap menerima taubat seseorang hambanya selama nyawanya belum sampai di kerongkong.(Hadis Riwayat Tarmizi)
.
Lihatlah betapa kasih dan sayangnya Allah kepada hambaNya. Allah tetap menerima taubat selagi nyawanya belum sampai di kerongkong. Maksudnya di usia ini samaada yang muda atau tua. Ataupan yang sedang sihat atau yang sedang sakit sampai belum di tahap nazak sentiasalah ingat kepada Allah dan bertaubat lah kepadaNya sebelum roh berpisah daripada jasad. Roh kembali kepada Allah dan akan dipersoalkan tentang apa yang dilakukan di alam dunia. Jasad kembali ke tanah dan hancur sedikit demi sedikit dimamah bumi kecuali jasad yang terpelihara oleh Allah.
.
TAUBAT NASUHA
.
Apakah yang dimaksudkan dengan taubat nasuha. Taubat nasuha merupakan satu taubat yang dilakukan bersungguh-sungguh dengan menyesali segala perbuatan dosa dan maksiat yang dilakukan dan berusaha untuk menghentikan dan meninggalkan maksiat. Bartaubat dengan rasa ikhlas hati dan mengharap keampunan rahmat kasih sayang daripada Allah. Apabila dosa itu ada hubungan dengan hak manusia maka taubatnya di tambah syarat seperti meminta maaf sesama insan dan menggantikan atau memulangkan semula barang yang dicuri sekiranya ada. Renungilah sepotong ayat suci Al-Quran tentang taubat:
.
Hai orang-orang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan melakukan taubat yang sebenar-benarnya. Mudah-mudahan Allah menghapuskan kesalahan kamu.(Surah Al-Tahrim : Ayat 8)
.
Inilah erti taubat nasuha iaitu seseorang hamba kembali kepada Allah dengan penuh rasa pengharapan dan dengan penuh rasa tulus ikhlah hati mudah-mudahan Allah menerima taubatnya dan mengampuni segala dosa silamnya. Bagaimana pula dengan taubat yang di tolak oleh Allah? Mari kita renungi bersama sepotong ayat suci Al-Quran tentang taubat:
.
Hanyalah Tuhan menerima taubat daripada orang yang mengerjakan kejahatan kerana kebodohan, kemudian dia kembali bertaubat dengan segera. Sebab itu Allah menerima mereka kembali, dan Allah itu Maha Mengetahui dan Bijaksana. Dan tidaklah diterima taubat orang mengerjakan kejahatan apabila sampai kematian kepada salah seorang daripada mereka barulah mereka berkata ”aku bertaubat sekarang”. Dan tidak pula diterima taubat orang yang meninggal dunia dalam kekafiran. Bagi mereka kami sediakan seksaan yang pedih.(Surah An-Nisa : ayat 17-18)
.
Inilah taubat yang tidak diterima oleh Allah iaitu taubat yang dilakukan diambang hampir kematian iaitu dalam keadaan tenat nazak. Dan demikian juga taubat yang dilakukan matinya dalam keadaan kafir. Oleh itu renung-renungkan lah.

2 comments:

  1. sggah mmbca entry ni.. insyaALLah byk mmbntu dlm perbentngan usrah ana

    ReplyDelete
  2. terima kasih,setiap insan didunia ini tidak terlepas dari melakukan kesalahan

    ReplyDelete