.

.

Wednesday, March 10, 2010

SEBAB-SEBAB YANG MEWAJIBKAN MANDI

Apa maksud mandi wajib?
.
Mandi wajib bermaksud mandi yang diwajibkan oleh
Syarak kerana sebab-sebab yang telah ditetapkan.
.
Apakah sebab-sebab yang mewajibkan mandi?
.
1. Jimak
.
Jimak bermaksud bersetubuh iaitu memasukkan zakar ke dalam faraj. Seorang muslim diwajibkan mandi selepas bersetubuh berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.; “Apabila seseorang telah duduk di antara empat cabang perempuan (yakni dua tangan dan dua kaki/pahanya), kemudian khitan (kemaluan) telah menyentuh khitan (kemaluan), maka wajiblah mandi”. Dalam satu riwayat disebutkan; “…sekalipun tidak keluar mani” (Riwayat Imam Muslim dari Saidatina ‘Aisyah r.a..).
.
Mengikut pandangan jumhur atau majoriti ulamak; diwajibkan mandi sama ada persetubuhan berlaku antara lelaki dan wanita atau dengan memasukkan zakar ke dalam dubur (yakni melakukan liwat), termasuklah mensetubuhi binatang dan orang mati. Bagi jumhur ulamak, asalkan berlaku persetubuhan iaitu masuknya hasyafah (yakni kepala zakar) ke dalam faraj atau dubur, wajiblah mandi sekalipun tidak keluar mani.
.
2. Keluar mani
.
Telah disepakati oleh sekelian ulamak bahawa wajib mandi dengan keluarnya mani. Ini berdalilkan sabda Nabi s.a.w.; “Air (yakni mandi) adalah dari kerana air (yakni dari kerana keluar mani)” (Riwayat Imam Muslim dari Abu Sa’id al-Khudri r.a.). Ummu Salamah r.a. telah menceritakan; “Pernah Ummu Sulaim datang dan bertanya kepada Nabi s.a.w.; ‘Adakah seorang perempuan wajib mandi jika ia bermimpi?’. Jawab Nabi s.a.w.; ‘Ya, jika ia melihat air (yakni air mani)’” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).
.
Menurut mazhab Imam Syafi’ie; tidak ada beza sama ada keluar mani itu kerana jimak, mimpi, berkhayal, mengeluarkannya dengan tangan, kerana melihat wanita atau kerana sebarang sebab, sama ada keluar mani itu dengan merasa lazat atau tanpa merasainya, sama ada yang keluar itu banyak atau sedikit, sama ada ketika jaga atau tidur, sama ada lelaki atau wanita, orang beraqal atau gila. Semuanya mewajibkan mandi. Bagi pandangan Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Ahmad; tidak wajib mandi kecuali jika mani yang keluar adalah kerana syahwat dan keluarnya dalam keadaan memancut.
.
Kalau seseorang itu bermimpi (bersetubuh atau sebagainya) tetapi tidak nampak air mani pada badan atau pakaiannya apabila terjaga dari tidurnya atau ia ragu-ragu sama ada keluar mani atau tidak, maka dalam kes ini tidak wajib ia mandi. Namun jika ia melihat ada air mani pada badan atau pakaiannya dan ia tidak pasti; apakah ia telah bermimpi atau tidak? Dalam kes kedua ini, wajiblah ia mandi. Ini berdalilkan hadis dari Ummu Salamah r.a. yang menceritakan; “Ummu Sulaim (isteri Abu Talhah) telah datang kepada Nabi s.a.w. dan berkata; ‘Ya Rasulullah s.a.w., sesungguhnya Allah tidak malu dengan kebenaran. Adakah wajib seorang wanita mandi jika ia bermimpi?’. Jawab Nabi s.a.w.; ‘Ya, jika ia melihat air mani’” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).
.
Berkata Imam Ibnu Munzir; telah ijmak bahawa seseorang jika ia melihat dalam mimpinya bahawa ia bersetubuh, namun setelah terjaga dari tidur ia tidak nampak sebarang kesan mani, tidak wajib atasnya mandi.
.
3. Haid dan nifas
.
Wanita yang kedatangan haid dan nifas, apabila kering darah haid atau darah nifas, wajib mereka mandi sebelum menunaikan solat atau sebelum diharuskan suaminya mensetubuhinya berdalilkan firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 222 (bermaksud); “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: ‘Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat’. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri”. (Al-Baqarah; 222)
.
Begitu juga berdasarkan hadis Saidatina ‘Aisyah r.a. yang menceritakan; “Fatimah bin Hubaiysh r.a. menghadapi masalah istihadhah. Lalu Rasululah s.a.w. berkata kepadanya; ‘Bila datang haid, tinggallah solat dan apabila ia berlalu (yakni tempoh haid kamu tamat), maka mandilah dan tunaikanlah solat” (Riwayat Imam al-Bukhari).
.
Ayat dan hadis di atas menyentuh tentang haid. Dikiaskan kepadanya nifas kerana nifas adalah haid yang berkumpul. Begitu juga, nifas mengharamkan puasa, bersetubuh dan menggugurkan kewajipan solat sebagaimana haid. Maka wanita yang nifas apabila kering darah nifasnya, wajib ia mandi sebagaimana wanita yang haid. Telah ijmak para ulamak bahawa wanita yang nifas adalah umpama wanita yang haid dalam segenap hukum-hakamnya.
.
4. Wiladah
.
Wiladah bermaksud kelahiran anak termasuklah keguguran (sekalipun hanya segumpal darah atau segumpal daging). Menurut mazhab Imam Syafi’ie, Imam Malik dan Imam Ahmad (mengikut satu riwayat darinya); wanita yang melahirkan anak atau keguguran, ia wajib mandi jika ditakdirkan tiada darah nifas yang keluar. Ini kerana dikiaskan kepada mani. Anak atau janin adalah air mani yang telah menjadi kanak-kanak. Keluarnya anak atau janin dari faraj dapat diumpamakan seperti keluar mani darinya, maka wajiblah mandi. Namun jika ada darah nifas yang keluar selepas kelahiran atau keguguran tersebut, maka hukumnya tertakluk dengan hukum wanita yang kedatangan nifas dan ia hendaklah menunggu hingga kering darah nifasnya barulah mandi.
.
Namun mengikut mazhab Imam Abu Hanifah dan satu riwayat lain dari Imam Ahmad; wiladah tidak mewajibkan mandi kerana tidak ada dalil yang menegaskannya.
.
5. Mati
.
Seorang muslim yang mati wajib dimandikan sebelum dikafan kecuali orang yang mati syahid.* Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan; Rasulullah s.a.w. telah bersabda mengenai seorang lelaki yang mati ketika sedang dalam ihram (haji); ‘Mandikanlah ia dengan air dan daun bidara, kemudian kafankanlah dia dengan dua helai kainnya’”. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim). Niat mandi hendaklah dilakukan oleh orang menguruskan mandiannya.
.
6. Orang kafir yang masuk Islam
.
Menurut mazhab Imam Malik dan Imam Ahmad; orang kafir yang memeluk Islam wajib ia mandi. Mereka berdalilkan hadis dari Abu Hurairah r.a. yang menceritakan; seorang lelaki bernama Tsumamah bin Usal telah ditangkap oleh tentera Islam dan ditambat di satu tiang masjid. Nabi berkata kepada para sahabatnya; “Lepaskan Tsumamah”. Setelah dilepaskan Tsumamah pergi ke satu kawasan air berdekatan masjid, lalu ia mandi. Kemudian ia memasuki masjid dan mengucapkan dua kalimah syahadah. (Riwayat Imam al-Bukhari).
.
Namun menurut jumhur ulamak termasuk mazhab Imam Syafi’ie dan Abu Hanifah; tidak wajib mandi atas orang kafir yang memeluk Islam, akan tetapi disunatkan sahaja. Ramai orang yang memeluk Islam di zaman Nabi s.a.w., namun baginda tidak menyuruh mereka agar mandi sama ada sebelum atau selepas memeluk Islam. Adapun hadis tadi, ia hendaklah difahami sebagai sunat sahaja, bukan wajib.
.
Menurut mazhab Imam Syafi’ie; dikecualikan jika ia berjunub semasa kafirnya, maka wajiblah ia mandi. Adapun mazhab Imam Abu Hanifah; tidak wajib mandi sekalipun berjunub semasa kafirnya kerana Rasulullah s.a.w. ada bersabda; “Islam menghapuskan/ menggugurkan apa yang telah lalu” (Riwayat Imam Muslim dari Amru bin al-‘As r.a.)
.
7. Orang yang memandikan jenazah
.
Segolongan ulamak Salaf antaranya Saidina Ali, Abu Hurairah, Sa’id bin al-Musayyab, Ibnu Sirin, az-Zuhri dan sebagainya berpendapat; orang yang memandikan jenazah wajib ke atasnya mandi. Mereka berdalilkan hadis dari Abu Hurairah r.a. yang menceritakan bahawa Nabi s.a.w. bersabda; “Sesiapa memandikan orang mati, maka hendaklah ia mandi. Sesiapa membawa orang mati, maka hendaklah ia mengambil wudhuk” (Riwayat Imam at-Tirmizi. Menurut beliau, hadis ini hasan).
.
Namun menurut pandangan Ibnu ‘Abbas, Ibnu Umar, Saidatina ‘Aisyah, al-Hasan, an-Nakha’ie, Imam Syafi’ie, Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad dan sebagainya; tidak wajib ia mandi. Suruhan Nabi s.a.w. dalam hadis di atas hanyalah suruhan sunat sahaja, iaitu digalakkan mandi bukan diwajibkan. Terdapat satu riwayat dari Imam Ahmad menyebutkan; wajib mandi itu hanya jika yang dimandikan itu adalah mayat orang kafir. Ini berdalilkan arahan Nabi s.a.w. kepada Saidina ‘Ali r.a. agar ia mandi tatkala ia memandikan bapanya (Abu Thalib).

18 comments:

  1. saye ade soalan yang nak di ajukan....aapakah maksud melakukan persetubuhan dengan binatang???

    ReplyDelete
  2. Apbila manusia melakukan hubungan seks dengan haiwan.. istilah nya ialah bestialiti.Dengan berhubungan seks dengan binatang, bererti manusia menyamakan darjatnya dengan yang disetubuhinya.

    ReplyDelete
  3. mcm mane nak bezakn diantara air mazi,air mani,keputihan???

    ReplyDelete
  4. salam... air mazi seperti putih telur mentah, manakala air mani seperti putih telur mentah di campur dengan susu

    ReplyDelete
  5. nak tanya tp segan... actually saya ni lembut, bagaimana jika seorg lelaki main dgn saya, masukkan zakar dlm dubur saya, then dia pancut, tp saya tidak, saya kena mandi wajib juga x? puasa sah x jika x mandi wajib.. (ikhlas bertanya utk pengetahuan dan share dgn kwn2x)

    ReplyDelete
  6. Mengikut pandangan jumhur atau majoriti ulamak; diwajibkan mandi sama ada persetubuhan berlaku antara lelaki dan wanita atau dengan memasukkan zakar ke dalam dubur (yakni melakukan liwat, peliwat, diliwat), termasuklah mensetubuhi binatang dan orang mati. Bagi jumhur ulamak, asalkan berlaku persetubuhan iaitu masuknya hasyafah (yakni kepala zakar) ke dalam faraj atau dubur, wajiblah mandi sekalipun tidak keluar mani.Ambillah sikap berhati2 yakni mandilah wajib. Ambillah peluang ramadan ini untuk bertaubat. Dan tanamlah keyakinan di dalam hati anda bahawa mungkin ramadan tahun ini adalah yg terakhir.

    ReplyDelete
  7. amin..tq ustad..
    lg 1 soalan, leh x if kita takung air dlm baldi n rendam kaki, tgn n badan dlm baldi besar tu utk meyakinkan diri n memastikan mandi wajib sah dgn durenyer semua bahagian kulit kena air?

    ReplyDelete
  8. kalau air mazi jer kluar, kena mandi wajib jgk ke??

    ReplyDelete
  9. kan ustad tu da jawab ''asalkan berlaku persetubuhan iaitu masuknya hasyafah (yakni kepala zakar) ke dalam faraj atau dubur, wajiblah mandi sekalipun tidak keluar mani.Ambillah sikap berhati2 yakni mandilah wajib. ''

    ReplyDelete
  10. assalamualaikum ustaz...klu zakar x bersentuh dgn faraj tp hanya oral sex x keluar air mani..perlu mandi wajib atau bagai mana???

    ReplyDelete
  11. Assalamualaikum ustaz. Bagaimana kita nak bezakan keputihan dengan air mani?

    ReplyDelete
  12. bagaimana kalau kita gunakan produk (perubatan) yg memerlukan kita memasukkan sesuatu (seperti batang) kedalam faraj, adakah perlu mandi wajib

    ReplyDelete
  13. Saya menjalani pemeriksaan dubur kerana disyaki mengidap penyakit kanser prostat. Doktor telah memasukkan suatu alat perubatan seperti batang ke dalam dubur saya. Adakah dikira saya perlu mandi wajib sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang yang melakukan perbuatan liwat? Tolong jelaskan untuk pengetahuan bersama. Terima kasih.

    ReplyDelete
  14. Salam ustaz..klau kita brsetubuh lbih dr sekali dlm satu msa cthnya 3kali..prlukah kita mndi wjib sbnyak 3kali @ memadai sekali shj..bgaimana niatnya? Blh beri pnjelasan

    ReplyDelete
  15. Salam ustaz..kalau keluar air mani ketika tidur walaupon tak bermimpi perlu man di wajib ke.??..adekah batal puasa saye??

    ReplyDelete
  16. salam saya nak tnye kalau suami memasaukkan jari ke dalam kemaluan isteri...dan isteri hanye keluar air mazi sahaja adakah perlu mandi wajib.harap ustaz boleh jelaskan...

    ReplyDelete
  17. Jika doktor memasukkan kamera ke dlm faraj bg tujuan siasatan perubatan, perlukah wanita mandi wajib?

    ReplyDelete