.

.

Friday, March 5, 2010

DALIL WAJIB BERSUCI DARI HADAS

PENGERTIAN HADAS
.
Hadas ialah kekokotoran maknawi pada diri yang menegah sahnya ibadah yang disyaratkan bersuci iaitu solat, tawaf dan sebagainya. Orang berhadas tidak bersih di sisi Allah sekalipun di sisi manusia kelihatan bersih. Kerana itu, orang yang berhadas wajib menyucikan dirinya mengikut cara yang ditetapkan Syarak sebelum mengadap Allah melalui ibadah-ibadah tadi.
.
Berapa jenis hadas? Apa cara menyucikannya?Hadas ada dua jenis, iaitu;1. Hadas kecil2. Hadas besarCara menyucikan hadas kecil ialah dengan mengambil wudhuk. Adapun cara menyucikan hadas besar ialah dengan mandi. Jika kedua-duanya tidak dapat dilakukan kerana sakit, ketiadaan air atau sebagainya, hendaklah diganti dengan tayammum. Kesimpulannya, cara menyucikan hadas yang ditetapkan oleh Syarak ada tiga, iaitu;1. Wudhuk; untuk menyucikan hadas kecil2. Mandi; untuk menyucikan hadas besar3. Tayammum; gantian kepada wudhuk atau mandi.
.
DALIL WAJIB BERSUCI DARI HADAS
.
Kewajipan bersuci dari hadas secara umumnya (merangkumi mengambil wudhuk, mandi wajib dan tayammum) disebut oleh Allah di dalam surah al-Maidah, ayat 6 (yang bermaksud); “Wahai orang-orang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu berjunub (berhadas besar) maka bersucilah (dengan mandi wajib); dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam musafir, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan (debu) tanah yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan (debu) tanah itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi ia berkehendak membersihkan kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu supaya kamu bersyukur” (al-Maidah; 6).
.
Perhatikan; di awal ayat Allah menyebut tentang wudhuk, di tengahnya menyebut tentang mandi wajib dan di hujung pula menyebut tentang tayammum
.
SEBAB-SEBAB HADIS KECIL
.
1. Keluar sesuatu dari kemaluan
Keluar sesuatu dari kemaluan sama ada kemaluan hadapan atau belakang, yakni zakar/faraj atau dubur sama ada yang keluar itu air kencing, tahi, kentut, air mazi atau air wadi akan membatalkan wudhuk. Ia telah disepakati oleh sekelian ulamak berdalilkan ayat Allah (yang bermaksud); “Dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam musafir, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuhan dengan perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah debu yang bersih…”. (al-Maidah; 6)
.
Ungkapan “…atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air…” di dalam ayat di atas bermaksud selepas kencing atau berak, yakni apabila seseorang dari kamu selesai dari kencing atau berak, hendaklah ia mengambil wudhuk. Jika tidak ditemui air, hendaklah ia bertayammum. Di dalam hadis, Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda; “Tidak diterima solat seseorang dari kamu jika ia berhadas hinggalah ia mengambil wudhuk (terlebih dahulu)”. Seorang lelaki penduduk Hadramaut bertanya Abu Hurairah (yang menyampaikan hadis ini); “Wahai Abu Hurairah, apa itu hadas?”. Jawab beliau; “Kentut (sama ada yang tidak berbunyi atau yang berbunyi)” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah). Dalam hadis yang lain, Nabi bersabda; “Tidak wajib wudhuk kecuali bila terdengar bunyi (yakni bunyi kentut) atau keluar angin (kentut tanpa bunyi)” (Riwayat at-Tirmizi dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah. Menurut Imam an-Nawawi, hadis ini soheh).
.
Bagaimana jika yang keluar dari kemaluan itu adalah batu, darah, ulat dan sebagainya dari perkara yang jarang berlaku?
.
Menurut jumhur ulamak –termasuk mazhab Syafi’ie, Abu Hanifah dan Ahmad-; semua yang keluar melalui zakar dan dubur akan membatalkan wudhuk sama ada dari benda-benda yang biasa (yakni tahi, kencing dan sebagainya tadi) atau yang luar biasa (batu, darah, ulat dan sebagainya). Di dalam hadis, Rasulullah s.a.w. memerintahkan wanita yang mengalami istihadhah (yakni keluar darah dari kemaluannya di luar masa haid) agar mengambil wudhuk setiap kali hendak menunaikan solat fardhu (Riwayat Imam Abu Daud dan ad-Daruqutni dari Fatimah bin Abi Hubais r.a. dengan sanad yang siqah). Hadis ini menunjukkan bahawa keluar darah dari kemaluan membatalkan wudhuk sekalipun ia bukan selalu berlaku. Dikias kepadanya benda-benda lain yang jarang keluar melalui kemaluan. Mazhab Imam Malik berpendapat; “Perkara-perkara yang jarang keluar melalui kemaluan itu tidak membatalkan wudhuk”.
.
Jika seseorang tidak dapat mengeluarkan najis melalui saluran asal (yakni zakar atau duburnya), lalu dibuat saluran di bahagian ususnya, adakah najis yang keluar melalui saluran baru itu akan membatalkan wudhuk?
.
Menurut mazhab Imam Syafi’ie dan juga Imam Malik; “Ia membatalkan wudhuk jika sekiranya lubang atau saluran itu berada di bawah perut dan saluran najis yang asal (iaitu zakar atau dubur) telah tertutup, yakni saluran baru itu telah mengambil tempat saluran asal sebagai tempat keluar najis”.
.
2. Tidur
Tidur membatalkan wudhuk berdalilkan sabda Nabi s.a.w.; “Mata adalah pengikat punggung (dubur). Maka sesiapa tidur, hendaklah ia mengambil wudhuk” (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah dari Ali r.a.).
.
Menurut mazhab Syafi’ie dan juga Abu Hanifah, tidur yang membatalkan wudhuk ialah tidur nyenyak yang tidak tetap kedudukannya. Adapun tidur yang tetap kedudukannya, maka ia tidak membatalkan wudhuk. Yang dikatakan tidur yang tetap kedudukan ialah tidur sambil duduk dalam keadaan punggung rapat ke tanah (tidak beralih ke kanan atau ke kiri). Mereka berdalilkan hadis dari Anas r.a. yang bercerita; “Sahabat-sahabat Nabi s.a.w. tatkala sedang menunggu untuk menunaikan solat Isyak mereka tertidur sambil duduk. Kemudian (apabila masuk waktu Isyak) mereka menunaikan solat tanpa mereka mengambil wudhuk (terlebih dahulu)” (Riwayat Imam Syafi’ie, Abu Daud, Muslim dan at-Tirmizi). Bagi ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie dan juga Abu Hanifah, bukan semata-mata tidur itu yang membatalkan wudhuk, akan tetapi kebimbangan akan keluarnya sesuatu dari dua jalan (qubul atau dubur) ketika tidur itu. Tidur yang tetap kedudukan tidak ada kebimbangan akan keluarnya sesuatu dari qubul atau dubur kerana papan punggung rapat ke tanah. Oleh itu, ia tidak membatalkan wudhuk. Adapun tidur yang tidak tetap kedudukannya, kebimbangan itu ada. Oleh itu, ia membatalkan wudhuk.
.
Ulamak-ulamak mazhab Malik dan Hanbali pula berpendapat; tidur yang nyenyak (yang tidak sedarkan diri) keseluruhannya membatalkan wudhuk sama ada tetap kedudukannya atau tidak. Ini kerana bagi mereka, tidur itu sendiri menjadi faktor yang membatalkan wudhuk. Asalkan wujudnya tidur dan tidur itu nenyak, maka batallah wudhuk sama ada sambil duduk, berbaring atau melentang.
.
3. Hilang akal
Hilang akal dengan sebab mabuk, gila, pitam, termakan ubat yang memabukkan atau sebagainya. Hal ini telah disepakati oleh sekelian ulamak kerana berdalilkan kepada hadis tentang tidur di atas di mana kebimbangan akan keluarnya sesuatu dari dua jalan (zakar atau dubur) ketika seseorang itu gila, pitam atau mabuk lebih kuat dari ketika ia tidur. Maka jika tidur boleh menyebabkan batal wudhuk, maka lebih-lebih lagilah hilang akal.
.
4. Bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan
Berlaku sentuhan kulit antara lelaki dan wanita yang bukan mahram membatalkan wudhuk berdalilkan firman Allah di dalam surah al-Maidah, ayat 6 (yang bermaksud); “Dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam musafir, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuhan dengan perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah debu yang bersih…”.
.
Menurut mazhab Syafi’ie, semata-mata berlakunya sentuhan dan tanpa berlapik, akan batallah wudhuk sama ada sentuhan dengan syahwat atau tidak. Mengikut mazhab Imam Abu Hanifah, bersentuhan tidak membatalkan wudhuk kecuali yang membabitkan alat kemaluan (yakni zakar dan faraj) iaitulah bersetubuh. Adapun semata-mata bersentuhan tidaklah membatalkan wudhuk. Mengikut mazhab Imam Ahmad dan Malik pula; bersentuhan antara lelaki dan perempuan hanya membatalkan wudhuk jika dengan merasai kelazatan atau dengan maksud merasai kelazatan. Adapun bersentuhan semata-mata tidaklah membatalkan wudhuk.
.
Perbezaan pandangan ulamak di atas berlaku berpunca dari perbezaan mereka dalam mentafsirkan ungkapan “أَوْ لاَمَسْتُمُ النِّسَاء” (atau kamu bersentuhan dengan perempuan) dalam ayat di atas. Menurut Imam Syafi’ie, ia bermaksud bersentuhan secara mutlaknya. Imam Abu Hanifah pula mentafsir ayat ini dengan pandangan Ibnu Abbas yang berkata; maksud ayat di atas ialah jimak (persetubuhan). Imam Malik dan Ahmad pula mentafsir ayat di atas dengan sentuhan yang disertai syahwat. Pandangan mereka disokong oleh hadis dari Saidatina ‘Aisyah r.a. yang menceritakan; “Sesungguhnya Nabi s.a.w. mencium isteri-isterinya, kemudian baginda menunaikan solat tanpa mengambil wudhuk” (Riwayat Imam Abu Daud, an-Nasai, Ahmad dan at-Tirmizi. Menurut Syeikh al-Albani; hadis ini soheh. Lihat; Misykat al-Masabih, hadis no. 323). Hadis ini menunjukkan bahawa sentuhan biasa tidaklah membatalkan wudhuk. Jika tidak, sudah tentu Nabi akan mengambil wudhuk sebelum menunaikan solat selepas mencium isteri-isterinya tadi.
.
Adakah orang yang disentuh turut terbatal?
.
Menurut mazhab Syafi’ie dan Malik; “Kedua-dua yang m
enyentuh dan yang disentuh batal wudhuknya”. Menurut Imam Ahmad (dalam satu riwayat darinya); “Orang yang disentuh tidak batal wudhuknya”.
.
5. Menyentuh zakar atau faraj
.
Menyentuh zakar atau faraj dengan tangan tanpa berlapik akan membatalkan wudhuk. Ini adalah mazhab Syafi’ie dan Ahmad. Mereka berdalilkan sabda Nabi s.a.w.; “Sesiapa menyentuh zakarnya, janganlah ia menunaikan solat hinggalah ia mengambil wudhuk”. (Riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi, an-Nasai, Abu Daud dan Ibnu Majah dari Busrah binti Safwan r.a.. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini soheh). Yang dimaksudkan dengan zakar ialah batangnya sahaja, tidak termasuk dua kantung telurnya. Sepakat para ulamak menyatakan; tidak batal wudhuk dengan menyentuh dua kantung telur itu sekalipun tanpa berlapik.
.
Sentuhan yang membatalkan wudhuk ialah sentuhan dengan tangan. Sentuhan dengan anggota yang lain dari tangan tidak membatalkan wudhuk dan ini telah disepakati oleh sekelian ulamak. Menurut mazhab mazhab Syafi’ie, sentuhan tangan yang membatalkan wudhuk itu ialah dengan bahagian tapak tangan atau perut-perut anak jari dan tanpa berlapik. Adapun sentuhan dengan belakang tangan, tidaklah membatalkan wudhuk. Menurut mazhab Imam Ahmad, sentuhan tangan (tanpa berlapik) secara keseluruhannya membatalkan wudhuk sama ada dengan bahagian tapaknya atau belakangnya.
.
Menurut mazhab Imam Abu Hanifah; menyentuh zakar atau faraj tidak membatalkan wudhuk secara keseluruhannya. Mereka berdalilkan hadis dari Talq (طلق) bin ‘Ali r.a. yang telah bertanya Nabi s.a.w.; “Seorang lelaki telah menyentuh zakarnya. Adakah wajib atasnya mengambil wudhuk?”. Maka baginda menjawab; “Ia adalah sebahagian dari kamu” (Riwayat Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah. Menurut Ibnu Hibban; hadis ini adalah soheh dan disokong oleh al-Albani. Lihat; al-Ikhtiyarat al-Fiqhiyyah Lil-Albani, hlm. 47). (Sebahagian ulamak –antaranya Ibnu Hibban, Ibnu ‘Arabi dan al-Hazimi- berpandangan; hukum dalam hadis ini telah dimansukhkan. Lihat; al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu, Wahbah Zuhaili).
.
Menurut pandangan Imam Malik pula; sentuhan yang membatalkan wudhuk ialah sentuhan dengan syahwat. Adapun sentuhan tanpa syahwat, tidaklah membatalkan wudhuk. Mereka memadankan antara dua hadis di atas; hadis pertama merujuk kepada sentuhan dengan syahwat dan hadis kedua pula merujuk kepada sentuhan tanpa syahwat. Pandangan ini disokong oleh Imam Ibnu Taimiyyah. (Lihat; al-Ikhtiyarat al-Fiqhiyyah Lil-Albani, hlm. 48).
.
Adakah menyentuh zakar atau faraj orang lain juga membatalkan wudhuk?
.
Menurut mazhab Imam Syafi’ie dan Imam Ahmad; “Batal wudhuk sekalipun yang disentuh itu zakar/faraj anak kecil atau zakar/faraj orang yang telah mati”. Menurut Imam Malik; “Yang membatalkan wudhuk ialah menyentuh zakar/faraj orang dewasa. Adapun menyentuh zakar/faraj kanak-kanak, tidaklah membatalkan wudhuk”.
.
Bagaimana pula dengan menyentuh dubur, adakah juga akan membatalkan wudhuk?
.
Menurut mazhab Syafi’ie dan Ahmad; “Menyentuh dubur (iaitu bahagian lingkaran lubangnya) membatalkan wudhuk”. Mereka mengkiaskan dubur kepada zakar/faraj kerana ia juga termasuk dalam erti kemaluan manusia”. Dalam hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda; “Sesiapa menyentuh farajnya, hendaklah ia mengambil wudhuk” (Riwayat Imam Ibnu Majah dari Ummu Habibah r.a.). Menurut Imam Nawawi dalam kitabnya at-Tahzib, mengikut ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie; “Perkataan al-Faraj digunakan untuk makna kemaluan hadapan (yakni zakar/faraj) dan juga dubur, sama ada bagi lelaki atau perempuan”. Pada pandangan Imam Malik, menyentuh dubur tidaklah membatalkan wudhuk.
.
6. Keluar najis dari badan
Keluar darah (sama ada darah bekam, darah hidung atau sebagainya), nanah atau air bisa (iaitu benda-benda yang dianggap najis) dari badan membatalkan wudhuk mengikut pandangan mazhab Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad sekalipun tidak melaui zakar/faraj atau dubur, dengan syarat yang keluar itu adalah banyak (mengikut Imam Ahmad) atau mengalir (mengikut Imam Abu Hanifah). Dalil mereka ialah sabda Nabi s.a.w.; “Berwudhuk (adalah wajib) bagi setiap darah yang mengalir” (Riwayat Imam Daruqutni dari Tamim ad-Dari r.a.. Menurut Imam Ibnu Hajar; hadis ini dhaif. Lihat; Faidhul-Qadier, hadis no. 9680). Dalam hadis yang lain baginda bersabda; “Sesiapa muntah atau berdarah hidungnya atau meloya (hingga muntah penuh mulut) atau keluar mazi (ketika ia sedang mengerjakan solat), hendaklah ia keluar dari solatnya dan mengambil wudhuk, kemudian hendaklah ia menyambung (yakni meneruskan) solatnya dan janganlah ia bercakap-cakap” (Riwayat Ibnu Majah dari Aisyah r.a.. Menurut Imam Ahmad, hadis ini dhaif. Lihat; Bulughul-Maram, bab Nawaqid al-Wudhu’).
.
Namun mengikut pandangan mazhab Imam Syafi’ie dan Malik perkara tersebut tidaklah membatalkan wudhuk. Mereka berdalilkan hadis dari Anas r.a. yang menceritakan; “Rasulullah s.a.w. telah berbekam, kemudian baginda menunaikan solat tanpa mengambil wudhuk. Baginda hanya membasuh tempat bekamnya sahaja” (Riwayat Imam al-Baihaqi dan Daruqutni. Menurut Imam Syaukani, hadis ini dhaif (Kitab at-Toharah, bab al-Aghsal al-Mustahabbah). Hadis ini menunjukkan bahawa keluar darah dari badan tidaklah membatalkan wudhuk.
.
7. Muntah
Muntah membatalkan wudhuk pada pandangan mazhab Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad jika muntah itu banyak atau hingga memenuhi mulut. Dalil mereka ialah sabda Nabi s.a.w.; “Sesiapa muntah atau berdarah hidungnya atau meloya (hingga keluar muntah penuh mulut) atau keluar mazi (ketika ia sedang mengerjakan solat), hendaklah ia keluar dari solatnya dan mengambil wudhuk, kemudian hendaklah ia menyambung (yakni meneruskan) solatnya dan janganlah ia bercakap-cakap” (Riwayat Ibnu Majah dari Aisyah r.a.. Menurut Imam Ahmad, hadis ini dhaif. Lihat; Bulughul-Maram, bab Nawaqid al-Wudhu’).
.
Namun menurut pandangan mazhab Imam Syafi’ie dan Malik, ia tidaklah membatalkan wudhuk. Mereka berdalilkan hadis riwayat Imam Daruqutni yang menceritakan; “Nabi s.a.w. telah muntah, namun baginda tidak mengambil wudhuk”. Dalam hadis lain dari Sauban r.a. menceritakan; “Aku bertanya Nabi s.a.w.; ‘Adakah wajib mengambil wudhuk kerana muntah?’. Jawab baginda; “Jika wajib tentu aku akan menemuinya di dalam kitab Allah” (Lihat hadis ini dalam; Nailul-Autar, Kitab at-Toharah, Abwab Nawaqidh al-Wudhu’).
.
8. Ketawa berdekah di dalam solat
Sepakat para ulamak menyatakan bahawa ketawa denagn berdekah (yakni hingga didengari orang orang berdekatan) ketika sedang solat akan membatalkan solat. Adakah ia juga turut membatalkan wudhuk? Menurut Imam Abu Hanifah; ketawa berdekah di dalam solat akan membatalkan wudhuk. Mereka berdalilkan hadis Nabi s.a.w.; “Sesiapa yang ketawa hingga berdekah, hendaklah ia ulangi solat dan juga wudhuknya” (Riwayat Imam at-Tabrani dari Abu Musa al-Asy’ari. Menurut ulamak hadis; jalan-jalan periwayatan hadis ini sebahagiannya dhaif dan sebahagiannya mursal).Menurut jumhur ulamak –termasuklah mazhab Syafi’ie, Maliki dan Imam Ahmad-, ketawa berdekah itu tidaklah membatalkan wudhuk kerana perkara yang jika berlakunya di luar solat tidak membatalkan wudhuk, tentunya jika berlaku di dalam solat juga tidak akan membatalkan wudhuk. Adapun hadis di atas, ia tidak dapat dijadikan hujjah kerana mursal.
.
9. Memakan daging unta
Ia membatalkan wudhuk mengikut mazhab Imam Ahmad dengan berdalilkan hadis dari Jabir bin Abdullah r.a. yang menceritakan; “Seorang lelaki telah bertanya Nabi s.a.w.; ‘Adakah saya perlu mengambil wudhuk selepas memakan dahing kambing?’. Jawab Nabi; ‘Jika kamu mahu ambillah wudhuk dan jika tidak mahu tidak payahlah mengambil wudhuk’. Ia bertanya lagi; ‘Adakah perlu saya mengambil wudhuk selepas memakan daging unta’. Jawab Nabi; ‘Ya’. Ia bertanya lagi; ‘Adakah harus saya menunaikan solat di kandang kambing?’. Jawab Nabi; ‘Ya’. Ia bertanya lagi; ‘Haruskan aku menunaikan solat di tempat berbaring unta (di sekitar air/telaga)’. Jawab Nabi; ‘Tidak harus’” (Riwayat Imam Muslim).Adapun di sisi mazhab-mazhab yang lain (Imam Malik, Syafi’ie dan Abu Hanifah), ia tidaklah membatalkan wudhuk. Berkenaan hadis tadi, mereka menjawab; maksud wudhuk di dalam hadis tadi ialah membasuh tangan dan mulut untuk tujuan kebersihan. Ini sebagaimana hadis dari Ibnu ‘Abbas r.a. yang menceritakan; “Nabi meminum susu. Kemudian baginda meminta air, lalu berkumur dan berkata; ‘Sesungguhnya ia berlemak’”. (Riwayat Imam Muslim).
.
10. Timbul syak atau keraguan
Menurut mazhab Imam Malik; jika seseorang itu syak atau ragu sama ada ia masih berwudhuk atau tidak, semata-mata timbulnya syak itu, maka batallah wudhuknya. Namun jumhur mazhab berpendapat; semata-mata syak atau ragu tidaklah membatalkan wudhuk sehinggalah diyakini benar-benar bahawa telah berlakunya perkara-perkara yang membatalkan wudhuk tadi, barulah wudhuk dikira batal. Pendapat jumhur ini bertepatan dengan hadis Nabi di mana ‘Ubbad bin Tamim meriwayatkan dari bapa saudaranya yang bertanya Nabi s.a.w. tentang seorang lelaki yang ragu-ragu semasa sedang solat; adakah keluar darinya punggungnya sesuatu atau tidak?. Nabi menjawab; “Janganlah ia keluar dari solatnya sehinggalah ia terdengar bunyi (kentut) atau mendapati keluar angin”. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)
.
11. Memandikan mayat.
Orang yang terlibat secara langsung memandikan mayat, batal wudhuknya menurut mazhab Imam Ahmad. Adapun mazhab-mazhab yang lain, ia tidak membatalkan wudhuk.

No comments:

Post a Comment