...

...

Monday, February 15, 2010

TAKBIR HARI RAYA


SAYUP-SAYUP KEDENGARAN SUARA TAKBIR DI PAGI RAYA

OLEH
SUBI HARON

Bila tiba hari raya suara takbir akan berkumandang di rumah saya. Maka ayah lah yang akan bertakbir dan suaranya akan memecah kesunyian di awal pagi selepas solat subuh . Sayup-sayup kedengaran suara takbir dari ayah yang sangat merdu dapat didengari oleh jiran tetangga. Bilakah takbir raya ini sunat dilaungkan? Iaitu pada Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Korban adalah disunatkan membaca takbir di luar solat dan waktunya seperti berikut:

1.Pada Hari Raya Aidilfitri takbir dimulai dari terbenamnya matahari akhir ramadan hingga imam berdiri untuk mengerjakan solat hari raya.

2.Pada Hari Raya Korban takbir dimulai dari subuh pada hari Arafah (tanggal 9 zulhijjah) pada tiap-tiap solat fardu sehingga asar pada 13 zulhijjah.

.


Sukanya saya berkongsi dan menghebahkan salah satu daripada hadis Rasulullah s.a.w iaitu diriwayatkan oleh Abu Daud dari Anas r.a berkata:

”Rasulullah s.a.w datang ke Madinah, sedangkan mereka sedang sibuk bergembira selama dua hari. Maka Rasulullah s.a.w bertanya: ”Hari apakah yang dua hari ini?” Mereka menjawab: ”Kami biasa bergembira selama dua hari pada zaman jahiliyah.” Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: ”Sesungguhnya Allah s.w.t telah menggantikannya dengan yang lebih baik dari dua hari itu bagi kamu, iaitu Aidiladha dan Aidilfitri”

Hadis yang sama juga telah diriwayatkan oleh periwayat Abu Daud dari Jabir r.a sebagaimana yang telah dikutip oleh pengarang kitab Bulugh Al-Maraam.

KESILAPAN SAYA KETIKA BERTAKBIR DI HARI RAYA

Kini ayah yang tercinta tiada lagi bersama kami sekeluarga. Ayah telah pun kembali semula kepada Ilahi. Janji Allah yang Esa sentiasa tepat, setiap yang bernyawa pasti merasai mati. Dan saya yakin suatu hari nanti saya jua akan kembali kepada Nya.

”Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu lalai kerana harta benda dan anak-anakmu daripada mengingati Allah (sembahyang yang lima). Barangsiapa yang berbuat demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi. Nafkahkanlah sebahagian rezeki yang Kami berikan kepadamu, sebelum datang maut kepada salah seorang dari kamu, lalu dia berkata : Ya Tuhanku, mengapakah Engkau tidak memberi tempoh kepadaku, sehingga waktu yang dekat, supaya aku bersedekah dan termasuk orang-orang yang soleh?.Allah tidak akan memberi tempoh kepada seorang, apabila telah sampai ajalnya. Allah Maha amat Mengetahui apa yang kamu kerjakan”
(Surah Al-Munafiquun, ayat 9 hingga 11)

Terasa sedikit kemuraman di awal subuh pagi di hari raya . Selalunya selepas solat subuh ayah pasti tidak pernah lupa melaungkan takbir raya di rumah. Kini setelah ayah pergi tiada lagi kedengaran suara takbir darinya. Di pagi raya, selepas solat subuh di rumah, saya duduk sebentar di sejadah. Lalu saya melaungkan takbir raya dengan suara yang agak perlahan-lahan. Pada mulanya saya bertakbir seperti biasa, lama kelamaan hati saya menjadi sebak. Entah mengapa saya boleh berperasaan sedemikian. Lama-kelamaan perasaan sebak itu diganti dengan genangan air mata. Air mata saya mula membasahi di kelopak mata kerana teringatkan ayah. Akhirnya tidak dapat lagi dibendung dan terus mengalir jatuh berderaian .Hati saya tersentak dari tangisan yang penuh kesedihan tadi. Saya cuba sedaya upaya menghentikan perasaan sedih ini. Nampaknya takbir raya yang saya laungkan tadi tidak sempurna pada penghayatannya. Sepatutnya saya bertakbir raya tadi menjadi sebak dan rindu akan kepada rahmat keampunan dari Allah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Sepatutnya saya mengalirkan air mata tadi untuk merayu kepada Allah semoga amalan di bulan Ramadan yang lalu mudah - mudahan diterima oleh Nya. Sepatutnya saya menangis dengan pengharapan dan merayu kepada Allah semoga bulan Ramadan yang akan datang lagi masih mempunyai ruang dan peluang untuk saya tempuhinya lagi. Saya terasa malu sebentar dengan episod linangan air mata tadi. Saya beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada Nya. Tidak mengapa sekiranya saya terlalu rindukan ayah namun biarlah kena pada tempatnya dan masanya. Saya beristigfar sekali lagi dan berdoa kepada Allah semoga roh ayah sentiasa di dalam rahmat dan keampunan dari Nya.

Al-Fatihah buat arwah ayah yang tercinta.

Alllahyarham Al-Fadhil Haji Haron bin Isa.

”Abu Umamah bin Ajlan Albahily r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda : Tiada suatu yang lebih di sukai oleh Allah dari dua titis dan dua bekas. Titisan air mata kerana takut kepada Allah, dan titisan darah dalam mempertahankan agama Allah. Adapun dua bekas dalam perjuangan fisabilillah, dan bekas perjuangan kewajiban kepada Allah”
(Hadis riwayat Attirmidzi)

”Ibnu Mas’ud r.a berkata: Rasulullah s.aw bersabda kepadaku: Bacakan kepadaku Al-Quran. Saya berkata, Ya Rasulullah, bagaimana saya akan membacakan kepadamu, padahal kepadamulah Quran telah diturunkan. Nabi pun bersabda: Aku suka mendengar dari orang lain. Maka saya membaca surh An-Nisa hingga kepada ayat : Fakaifa idza ji’na min kulli ummatin bisyahidin, waji’na bika ala haa’ula’i syahiad (Bagaimanakah bila Kami telah mendatangkan kau sebagai saksi atas semua mereka itu). Lalu nabi bersabda: Cukuplah. Ibnu mas’ud berkata: Maka saya menoleh kepadanya, tiba-tiba kedua mata Nabi berlinangan air mata”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

”Sesungguhnya (pembawa berita) yang demikian itu ialah syaitan yang (bertujuan) menakut-nakutkan (kaum musyrik). Oleh itu, janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepada-Ku (jangan cuaikan perintah-Ku), jika betul kamu orang-orang beriman”
(Surah Al-Imran : ayat 175)
.
LAFAZ TAKBIR HARI RAYA
.

.
RUJUKAN

1.MUTIARA FIQIH OLEH USTAZ ISMAIL HAJI ALI
2.BIMBINGAN LENGKAP SOLAT SUNAT OLEH AKMAL HAJI MHD.ZAIN
3.RIYADHUS SHALIHIN OLEH SALIM BAHREISY
4. KITAB TAFSIR AL-QURAN

No comments:

Post a Comment