...

...

Tuesday, February 16, 2010

KESELAMATAN JALAN RAYA


PENUNGGANG MOTOSIKAL PERLU UTAMAKAN KESELAMATAN DIRI
.
TAMAN MEDAN – Bagi mengurangkan kemalangan jalan raya terutamanya semasa musim perayaan beberapa agensi penguatkuasaan keselamatan jalan raya terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan beberapa operasi bagi menyedarkan orang ramai akan kepentingan menjaga keselamatan semasa memandu di jalan raya. PDRM melalui Cawangan Trafiknya terus memainkan peranan yang penting bagi memastikan pengguna jalan raya mengikut peraturan dan juga undang-undang yang ditetapkan semasa berada di jalan raya supaya pengguna terbabit sedar kesilapan yang dilakukan serta tidak akan mengulanginya di masa-masa yang akan datang.
Penguat kuasa Trafik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, ASP Hambazi Abd Rahman berkata, operasi yang diadakan di Taman Medan semalam adalah sempena Ops Sikap 21 yang dilakukan berterusan sepanjang Sambutan Tahun Baru Cina. Menurutnya, sepanjang operasi berkenaan ramai pengguna jalan raya mengambil sikap sambil lewa dan menganggap di waktu-waktu cuti seperti ini pihak PDRM hanya menumpukan untuk melakukan operasi di lebuh raya sahaja di mana PDRM mengadakan operasi untuk pengguna yang pergi dan pulang dari kampung sahaja. “Mereka menganggap pihak PDRM tidak akan mengadakan operasi di kawasan seperti ini iaitu di kawasan taman perumahan dan juga kawasan yang bukan jalan utama.
“Kami akan terus mengadakan operasi seperti ini tidak kira di mana sahaja bagi memastikan pengguna jalan raya mengikut peraturan yang telah ditetapkan, “ katanya selepas mengadakan operasi berkenaan. Menurut Hambazi, dalam operasi kali ini ia menekankan pentingnya menjaga keselamatan dan perbuatan melanggar peraturan penunggang motosikal di kawasan berkenaan. Katanya, kesedaran untuk menjaga keselamatan oleh penunggang motosikal agak kurang berbanding dengan pengguna kenderaan yang lain dan kebanyakannya dilakukan untuk pergi ke kawasan yang berdekatan sahaja.
.
“Mereka menganggap tidak perlulah pentingkan keselamatan kerana dalam jarak yang dekat sudah pasti tidak akan ada sesuatu perkara yang buruk akan berlaku kepada mereka. “Kemalangan tidak boleh dijangkakan, jika ia hendak terjadi ia boleh terjadi dengan sekelip masa sahaja, jadi sangat penting untuk menjaga keselamatan walaupun hendak pergi ke tempat yang berdekatan, “ katanya.
.
Hambazi menyatakan, kesalahan utama penunggang motosikal yang kerap dilakukan ialah menunggang tanpa memakai topi keledar atau memakai topi keledar dengan cara yang tidak betul. Katanya, dalam operasinya pada kali ini, selain menekankan pentingnya pemakaian topi keledar ia juga memberi teguran dan juga mengeluarkan surat saman kepada penunggang motosikal yang menunggang tanpa lesen serta tidak menampal pelekat ‘P’ bagi yang mempunyai lesen percubaan juga pelekat ‘L’ bagi yang masih lagi belum lulus ujian memandu. “Perkara-perkara yang remeh seperti ini biasanya yang menyumbang berlakunya kemalangan jalan raya serta penunggang dan pembonceng motosikal adalah mereka yang paling banyak sekali terlibat dalam kemalangan maut di negara ini.
.
“Kesedaran perlu timbul untuk menjaga keselamatan di jalan raya terutamanya penunggang dan pembonceng kerana jika mereka tidak lalai dan leka berkemungkinan kemalangan berkenaan dapat dielakkan, “ katanya. Kata Hambazi, dalam operasi ini juga selain menumpukan kepada penunggang motosikal ia juga melibatkan pengguna jalan raya yang lain seperti pemandu kereta dan yang lain-lain. Menurutnya, walaupun penumpuan hanya kepada motosikal sahaja, tetapi jika terdapat pengguna yang lain melakukan kesilapan mereka tidak akan terlepas juga seperti memandu tanpa memakai tali pinggang keledar.
.
“Pemandu kenderaan lain juga tidak akan terlepas jika anggota kami nampak, takkan nak biarkan sahaja mereka melakukan kesalahan. “Kami berharap dengan adanya operasi seperti ini pengguna jalan raya akan tahu menjaga keselamatan diri mereka dan jangan menyusahkan pengguna jalan raya yang lain dengan kesilapan dan juga kelalaian serta kealpaan yang mereka telah lakukan terutamanya di musim perayaan seperti ini, “ katanya. Sementara itu, dalam operasi yang dilakukan selama dua jam setengah bermula jam 10.30 pag, ia melibatkan seramai 12 orang anggota daripada Cawangan Trafik, IPK Selangor. Menurut Hambazi, sebanyak 124 saman telah dikeluarkan dan ke semua saman berkenaan dikeluarkan kepada penunggang motosikal yang melakukan pelbagai kesalahan.
.
“Daripada 124 saman yang dikeluarkan, 40 penunggang telah disaman kerana menunggang tanpa memakai topi keledar dan selebihnya dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan yang lain seperti menunggang tanpa lesen dan tidak menampal pelekat ‘L’ dan ‘P’. “Operasi seperti ini akan dilakukan berterusan dan pihak PDRM akan terus menyaman mereka yang masih lagi gagal mematuhi peraturan jalan raya seperti yang telah ditetapkan, “ katanya.
.
SUMBER AKHBAR SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment